Wednesday, July 15, 2009

INFO

Saiz ais di artik menipis tujuh inci

SAINTIS Nasa memberi amaran, ais di bahagian Artik kini bukan sahaja mencair tetapi ketebalannya juga semakin menipis. Keadaan tersebut sekali gus akan mengancam dan membahayakan habitat semula jadi untuk beruang kutub.

Imej daripada satelit menunjukkan pencairan ais yang berlaku meningkat kepada 42 peratus sejak tahun 2004 hingga 2008.

Para saintis juga menganggarkan sejak musim sejuk tahun 2004, saiz ais telah menipis sebanyak tujuh inci dengan jumlah pencairan keseluruhan 2.2 kaki.

Menurut mereka, kejadian tersebut adalah disebabkan oleh kesan fenomena pemanasan global.

Beruang kutub diancam kepupusan berikutan liputan ais yang semakin menipis di Artik.


Terumbu karang musnah 20 tahun lagi

GOLONGAN muda hari ini mungkin merupakan generasi terakhir yang berpeluang menikmati keindahan terumbu karang.

Para saintis marin dalam satu mesyuarat yang diketuai oleh Sir David Attenborough memberi amaran bahawa karang laut akan musnah dalam masa 20 tahun lagi jika dunia terus melepaskan gas karbon dioksida ke atmosfera.

Menurut kajian, kawasan terumbu terbesar dunia iaitu Great Barrier Reef di Australia dijangka mengalami kepupusan 20 tahun lagi jika tiada langkah-langkah pemeliharaan dilaksanakan.

Bagi mereka, usaha menghapuskan kesan rumah hijau perlu giat dilaksanakan dengan mencari jalan bagaimana kehadiran gas beracun itu dapat dikurangkan.

Terumbu karang sebenarnya bukan sahaja cantik, malah ia turut berfungsi melengkapkan ekosistem laut seperti menjadi habitat dan sumber makanan kepada hidupan air lain.

Kehadiran gas karbon dioksida yang terlalu tinggi akan menyebabkan laut menjadi berasid dan suhu meningkat seterusnya menyumbang kepada fenomena pelunturan terumbu karang.






No comments:

Post a Comment