Friday, April 30, 2010

Hijrah Ke Arah Pelestarian Alam Sekitar



Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin
Pegawai Penyelidik

18/12/2009


Kedatangan tahun baru 1431 Hijrah mengingatkan kita kepada rentetan peristiwa penting yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa tersebut merupakan hari bersejarah yang cukup istimewa bagi seluruh umat Islam dan menyingkap rahsia yang tersendiri. Ia bukan sahaja membawa kepada bermulanya perkiraan Takwim Hijrah, bahkan ia juga merujuk kepada penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W. dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Hari bersejarah ini disambut setiap tahun oleh seluruh umat Islam di Malaysia bagi memperingati peristiwa penghijrahan tersebut. Konsep sambutan kebiasaannya dengan mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Sambutan sedemikian merupakan satu inisiatif dan pendekatan yang baik kepada seluruh masyarakat Islam dalam mengimbau kembali sejarah penghijrahan Rasulullah S.A.W.
Intipati semangat cekal yang ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W. semasa penghijrahan baginda wajar diteladani dan diaplikasikan oleh seluruh umat Islam, terutamanya dalam mengemudi bahtera kehidupan ke arah yang lebih baik demi mencapai keredhaan Ilahi. Jika diimbas kembali sejarah penghijrahan Rasulullah S.A.W., pelbagai laluan sukar, risiko berbahaya dan cabaran genting yang terpaksa baginda harungi terutamanya dalam menangkis serangan musuh demi mencapai keadaan yang lebih baik. Cabaran-cabaran yang dihadapi tidak pernah mematahkan semangat baginda, malah ia berjaya ditangani dengan baik melalui perancangan, strategi dan tindakan bijak baginda dan para sahabat sehingga membawa kepada kejayaan penghijrahan tersebut.
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam konteks hari ini tiada lagi corak penghijrahan seumpama yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat. Namun demikian, konsep hijrah tetap berterusan di kalangan umat Islam. Ia tidak hanya statik kepada penghijrahan dari satu tempat ke destinasi yang lain sahaja. Bahkan ia mempunyai pengertian yang lebih luas dan menyeluruh mencakupi semua aspek kehidupan. Dalam erti kata lain, konsep penghijrahan pada hari ini menjurus kepada hijrah daripada kejahatan kepada kebaikan dan daripada kebaikan ke arah yang lebih baik. Konsep penghijrahan pula perlulah secara istiqamah (konsisten) dan berterusan dalam meningkatkan iman kita menerusi usaha membersihkan sifat keji (mazmumah) dan melazimkan diri dengan sifat terpuji (mahmudah).
Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud: "Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik, dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahuinya. Mereka itu ialah orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya." (surah an-Nahl, ayat 41-42).
Jika diamati secara terperinci, konsep hijrah dewasa ini menuntut umat Islam memanfaatkan segala peluang yang ada dan meningkatkan jati diri bagi memantapkan lagi keimanan untuk menghadapi pelbagai onak duri dalam era globalisasi yang serba mencabar. Ianya merupakan aspek penting yang perlu ditekankan bagi menggapai kemajuan mengikut acuan berlandaskan syariat Islam. Dalam konteks ini, umat Islam perlu sentiasa bermuhasabah diri dan berusaha memperbaiki diri serta kehidupan dari masa ke semasa. Jika usaha memperbaiki diri serta kehidupan dapat dilaksanakan secara berterusan dan memberi impak positif, ia memberi gambaran bahawa pengertian hijrah berjaya dihayati dan dilazimkan di dalam kehidupan seharian.
Titik peralihan hijrah tidak hanya terhad kepada perubahan sikap diri sendiri dan kehidupan sahaja. Malah ia juga turut merangkumi titik perubahan terhadap persekitaran yang didiami. Misalnya, jika sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini kita diancam oleh perubahan iklim global yang cukup serius sehingga membawa kepada beberapa bencana alam yang besar. Masalah ini tidak pernah lekang walaupun telah banyak usaha dan persidangan dilakukan bagi memperolehi jalan penyelesaian yang sewajarnya. Malah, usaha tersebut seperti dipinggirkan dan tidak membuahkan kejayaan ekoran tidak mendapat kerjasama daripada beberapa negara termasuk negara yang tergolong sebagai ‘gergasi dunia'.
Namun demikian, persidangan yang berlangsung di Copenhagen, Denmark yang dijadualkan berakhir pada hari ini diharap dapat memacu penghijrahan sikap yang besar terhadap usaha pengembelengan isu perubahan iklim yang kian meruncing dari hari ke hari. Daripada komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua negara anggota (dengan kehadiran 15,000 peserta dari 192 negara) sepanjang persidangan berlangsung, ia telah menampakkan petanda dan titik peralihan positif dalam tindak balas antarabangsa berhubung isu perubahan iklim. Mesyuarat tersebut yang beragenda untuk mencapai perjanjian baru mengenai pelepasan gas rumah hijau serta mengumpul berbilion-bilion dolar dana bagi menyalurkan bantuan dan teknologi hijau kepada negara-negara miskin diharap mampu mencapai matlamatnya tidak seperti usaha-usaha sebelum ini yang hanya termateri di atas kertas dan ‘hangat-hangat tahi ayam sahaja' dek kerana tidak mendapat kerjasama yang sewajarnya daripada semua negara anggota.
Justeru, dengan kedatangan tahun baru hijrah ini diharap agar semua negara anggota terutamanya negara-negara Islam mengambil ‘roh' hijrah Rasulullah agar matlamat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan melestarikan alam sekitar dapat direalisasikan dengan jayanya. Sikap curiga antara negara miskin dan negara kaya dalam berkongsi kos pengurangan gas rumah hijau perlu dikikis agar tidak mencabuli matlamat asal penganjuran sidang kemuncak tersebut. Sudah tiba masanya untuk setiap negara Islam menghayati pengertian konsep hijrah untuk disuai padankan dengan aspek penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar demi kepentingan bersama. Tidak ada ruginya negara-negara pengeluar utama membuang sikap egoistik mereka demi mencapai satu penyelesaian kepada permasalahan yang tidak pernah menemui titik noktahnya.
Dengan menginjaknya tahun baru hijrah ini, setiap negara khususnya negara Islam perlu menanam azam dan tekad yang kukuh untuk berhijrah daripada teknologi yang tidak mesra alam kepada teknologi hijau yang lebih selamat dan sihat kepada alam sekitar. Hijrah ke arah pelestarian alam ini penting bagi menghentikan rintihan derita alam yang telah lama menagih sekelumit belas ihsan dan pengertian daripada sang khalifah. Mudah-mudahan secangkir keprihatinan khalifah bumi dapat melorongkan penghijrahan yang tulus bagi memberi nafas baru kepada alam untuk terus teguh berdiri dan menyumbang bakti kepada seluruh penghuni bumi.
Tugas pelestarian alam tidak hanya terletak di bahu tampuk kepimpinan negara semata-mata, sebaliknya ia juga perlu digalas oleh setiap individu. Sudah sampai masanya setiap umat Islam berhijrah dari segi sikap iaitu mengusir sikap pesimis terhadap alam dan menyuburkan sikap optimis dengan disusuli niat kerana Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. bermaksud: "...sesungguhnya aku berhijrah kepada Tuhanku" (surah al-Ankabut, ayat 26). Bahkan, dari segi pembangunan dan kemajuan umat, ia juga perlu selari dengan tuntutan agama dan dikembangkan secara berperingkat dan teliti demi meraih hasil yang positif. Justeru, sempena ulangtahun 1431 Hijrah, setiap umat Islam perlu menetapkan tekad dan iltizam baru sejajar dengan matlamat serta aspirasi agama, bangsa dan negara.



© 1992 - 2010 INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

ISLAM DAN PENGURUSAN BENCANA ALAM

Islam Dan Pengurusan Bencana Alam


Azrina Bt. Sobian
Pegawai Penyelidik

27/01/2005


Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada sesetengah bencana ini boleh dijangkakan manakala sebahagian lainnya tidak. Bencana alam telah berlaku di muka bumi ini sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Namun, kejadian ini akan hanya dikenali sebagai bencana hanya apabila ia melibatkan kehilangan nyawa manusia. Walaupun bencana yang datang meninggalkan kesan yang menggerunkan namun amat penting dan menarik bagi kita mengetahui dan mempelajarinya. Bencana alam sebahagian besarnya berlaku akibat dari proses semulajadi alam. Namun, dalam keadaan tertentu, bencana alam juga boleh berlaku akibat dari campur tangan manusia. Dalam kes-kes yang lainnya, kesan-kesan dari bencana alam meningkat intensitinya akibat tingkah-laku manusia di dalam alam ini. Di Malaysia bencana alam jarang berlaku. Walaupun begitu, antara bentuk-bentuk bencana yang kerap direkodkan di negara ini adalah banjir, banjir kilat dan tanah runtuh. Sepanjang sepuluh tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti Tragedi Highland Tower (1993), Tragedi Pos Dipang (1996), Tragedi Ribut Greg di Sabah (1996), kejadian tanah runtuh di Gombak (2004) dan banyak lagi. Manakala, tragedi hempasan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 2004 yang lalu merupakan yang pertama kali berlaku dan tidak mungkin kita semua lupakan.



Tragedi-tragedi alam ini boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia di bumi ini. Ayat 41, surah Ar-Ruum menyatakan; "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" Ayat ini membuktikan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alamnya. Oleh itu, umat manusia sentiasa diingatkan supaya tidak "mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan" (Surah al-Baqarah, 2: 195). Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana, hubung kait antara manusia dan alam sangat rapat. Manusia yang memusnahkan alam boleh diibaratkan sebagai memusnahkan kehidupannya sendiri. Sementara itu, dalam apa jua keadaan, manusia diarahkan untuk membuat persediaan, sama ada persediaan untuk menghadapi sesuatu yang buruk atau membuat persediaan untuk melakukan sesuatu yang baik. Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. sering mengingatkan manusia untuk bersiap sedia. Ayat 71, surah An-Nisa' (4) menyatakan "bersedialah dan berjaga-jagalah" dan ini membuktikan bahawa membuat persediaan sebelum sesuatu berlaku atau sebelum melakukan sesuatu bukanlah satu perkara asing bagi Islam. Di dalam al-Quran juga diceritakan tentang nasihat Nabi Yusuf kepada Raja Mesir. Raja Mesir telah bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus serta melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Dengan itu, Nabi Yusuf a.s. mentafsirkan bahawa negeri Mesir bakal berhadapan dengan tujuh tahun musim kemarau. Oleh itu, rakyat Mesir diminta bersiap-sedia bercucuk tanam dengan bersungguh-sungguh selama tujuh tahun bagi menghadapi musim kemarau itu. Dalam kisah di atas, persediaan yang rapi dilakukan bagi menghadapi bencana kemarau. Oleh itu, semasa musim kemarau tiba, mereka sudah mempunyai cukup makanan untuk berhadapan dengan bencana tersebut. Bukan itu sahaja, penduduk negeri tersebut juga telah menyimpan biji benih yang baik untuk ditanam semula selepas musim kemarau berlalu. Lihatlah betapa persediaan merupakan sesuatu yang perlu dilakukan bagi menghadapi bencana. Samalah halnya dengan usaha untuk membangunkan satu sistem amaran awal bencana. Ini merupakan satu bentuk persediaan yang memang dituntut dalam Islam. Sistem ini akan membantu kita mengesan kemungkinan berlakunya bencana alam. Dalam kes bencana Tsunami, sistem tersebut boleh mengesan gegaran yang akan menyebabkan Tsunami berlaku.



Sistem ini terdiri daripada unit-unit seismograf (alat pengesan gempa bumi), pengesan ombak dan alat DART. Alat DART inilah yang akan menilai dan melaporkan kewujudan dan intensiti ombak Tsunami selepas gempa bumi di lautan berlaku. Pada ketika ini, sistem amaran ombak Tsunami di Lautan Pasifik telah terbukti berkesan menyampaikan maklumat berkaitan bencana ini. Misalnya di Jepun, sebelum pembinaan sistem ini, 14 kejadian Tsunami telah mengorbankan lebih 6000 orang di Jepun. Dengan pengenalan sistem ini, terdapat 20 kejadian Tsunami yang mengorbankan 215 orang sahaja. Ini membuktikan bahawa sistem tersebut yang disokong sistem komunikasi yang cekap di negara-negara Lautan Pasifik memang berkemampuan memberikan maklumat yang betul berkenaan ombak Tsunami. Oleh itu, peranan sistem komunikasi juga amat penting. Sistem amaran awal ini tidak akan dapat berfungsi dengan baik jika jaringan komunikasi negara-negara di Lautan Hindi tidak cekap. Jaringan komunikasi ini penting bagi memastikan maklumat bencana dapat disampaikan secepat mungkin kepada negara-negara yang terlibat. Apalah gunanya sistem yang menelan belanja RM76 juta ini jika maklumat yang diperolehi itu tidak dapat disalurkan kepada negara-negara penerima bencana.



Dalam pada itu, pembangunan sistem amaran awal ini mesti disertakan dengan program kesedaran awam. Orang ramai mesti dididik dengan maklumat yang tepat berkenaan bencana ini. Mereka mesti disedarkan akan kemungkinan bahaya yang bakal mereka hadapi dan bagaimana hendak berhadapan dengan bahaya tersebut. Program kesedaran ini juga akan menyokong kejayaan sistem amaran awal yang bakal dibina kelak. Dengan program kesedaran dan pendidikan, orang ramai tahu bagaimana hendak bertindak dalam keadaan bencana yang melanda. Kejayaan keseluruhan sistem ini harus dikaji secara menyeluruh. Jaringan komunikasi dan kesedaran awam memang penting. Seperkara lagi, usaha meningkatkan keyakinan awam akan bahaya Tsunami juga sangat kritikal. Di Hawaii, sistem amaran awal bencana Tsunami memang terbukti berkesan menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Selain itu, program kesedaran akan bahaya Tsunami juga telah dirancang dan diimplementasi dengan baik. Walau bagaimanapun, menurut Dr. Walter Dudley dari University of Hawaii, program kesedaran yang dijalankan belum tentu dapat meyakinkan orang awam akan bahaya ombak Tsunami. Di Hilo, Hawaii, bencana Tsunami telah beberapa kali berlaku. Walaupun begitu, amaran Tsunami sering juga diabaikan kerana penduduknya tidak begitu yakin dengan amaran tersebut. Ketidakyakinan ini timbul kerana terdapat beberapa kes di mana amaran yang dikeluarkan tidak begitu tepat. Di Hilo, pernah berlaku satu kes di mana amaran ombak Tsunami dikeluarkan tetapi ombak yang tiba hanyalah setinggi enam inci. Dalam kes ini, pengetahuan orang awam tidak disertai dengan keyakinan. Oleh itu, cabarannya adalah untuk meyakinkan bahawa bahaya ombak Tsunami benar-benar wujud dan boleh membawa kebinasaan.



Berdasarkan penjelasan di atas, terbukti bahawa kerajaan atau mana-mana agensi yang terlibat mempunyai tugas yang berat untuk menyediakan program kesedaran yang bermanfaat kepada semua pihak. Walau pun sukar, usaha itu mesti terus dijalankan. Jika tidak, sia-sialah pembinaan sistem amaran awal bencana yang bakal dibangunkan itu. Perlu juga diingat bahawa pembinaan sistem amaran awal bencana ini bukanlah untuk melawan kuasa Ilahi. Ia hanyalah sekadar satu usaha untuk membuat persediaan terhadap kemungkinan tibanya bencana. Ini samalah juga dengan usaha seseorang untuk mencegah penyakit sebelum penyakit itu datang. Dengan persediaan itu, kita akan lebih bersedia, tabah dan sanggup menerima dugaan yang Allah s.w.t. berikan. Pun begitu, kita akur bahawa usaha mengesan bencana dengan lebih awal bukan satu jaminan kita akan bebas dari bencana tersebut. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ahzaab (33), ayat 17 yang bermaksud, "Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Dia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Dia hendak memberikan rahmat kepada kamu? Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: Bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka". Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa tiada apa pun yang dapat menahan bencana dari berlaku. Walau bagaimana pun, manusia masih perlu berusaha untuk mengelak atau mengurangkan kesan bencana alam tersebut. Oleh kerana itu, usaha untuk membangunkan satu sistem amaran awal bencana Tsunami di negara ini amat dialu-alukan. Walaupun sistem ini tidak dapat menghalang bencana tsunami namun terbukti system tersebut dapat meminimumkan kesan bencana Tsunami kepada manusia. Di dalam alam ini, manusia sungguh kerdil. Sekali alam bertindak manusia pasti tidak dapat mengelak. Lebih-lebih lagi jika manusia itu leka dan alpa. Oleh itu, insaf dan ambillah iktibar dari bencana yang telah berlaku serta berusahalah untuk lebih berhemah dalam segala urusan di muka bumi ini.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Pemuliharaan Alam Sekitar : Bertindak Sebelum Terlambat



Oleh Abu Bakar bin Yang
Fellow IKIM

25/12/2009

Sidang Iklim Copenhagen di Denmark sudahpun berakhir, namun satu langkah yang kukuh dan mantap untuk memperbaiki alam yang semakin terancam ini masih belum juga muncul. Tujuan asal persidangan ini ialah untuk mencapai perjanjian baru mengenai pengurangan gas rumah hijau yang dianggap sebagai ancaman utama dunia masa kini selain mengumpul dana untuk bantuan teknologi hijau ke negara-negara miskin tetapi hasrat tersebut tidak juga tercapai walaupun dengan kehadiran 15,000 orang peserta dari 192 negara.
Malaysia sebagai salah sebuah negara yang hadir dalam persidangan tersebut nyata kecewa dengan komitmen negara-negara maju terutamanya Amerika Syarikat. Bagi hampir semua pemimpin dan wakil negara dunia yang hadir, Persidangan Copenhagen gagal mencapai kesepakatan melainkan sedikit kejayaan dari segi komitmen politik untuk mengadakan lagi persidangan tahun depan yang mungkin lebih bermakna dan konstruktif.
Namun bagi kita yang masih menghuni alam yang semakin tercemar ini, adakah kita harus berdiam diri dengan hanya menunggu persidangan tahun hadapan yang masih belum pasti apakah keputusannya. Kita semua telah sedia maklum bahawa keperluan pembangunan untuk kesejahteraan manusia adalah sama pentingnya dengan tanggungjawab mengekalkan kesejahteraan alam sekitar, dan ianya merupakan tuntutan yang selari dan perlu dilakukan secara bersama. Malah, jika ditinjau dengan lebih mendalam lagi, sebenarnya keperluan kesejahteraan manusia perlu didokong oleh usaha mengekalkan kesejahteraan alam sekitar dan bukan sebaliknya. Ini bermakna kualiti alam sekitar yang merosot akan membawa kepada kemusnahan sumber alam dan akhirnya mengancam kesejahteraan manusia.
Mengapa timbul konflik antara tuntutan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar sedangkan kedua-dua tuntutan ini merupakan keperluan asas kesejahteraan manusia. Bagi kita yang beragama Islam, kita seharusnya lebih terkehadapan dan menjadi wira dalam menyelamatkan alam ini kerana kitalah yang sepatutnya lebih memahami bahawa ajaran Islam memberi keutamaan dan mesra terhadap alam persekitarannya.
Jika kita meneliti kefahaman terhadap alam sekitar yang difahami oleh masyarakat masa kini pastinya ianya ditakrifkan dalam pelbagai perspektif yang berbeza-beza. Bagi golongan pencinta alam, pembuat dasar dan ahli perniagaan tentunya akan memberikan makna kepada alam sekitar mengikut perspektif dan nilai masing-masing. Umpamanya, alam sekitar boleh ditakrifkan sebagai bahagian muka bumi yang memiliki nilai kebudayaan dan saintifik yang tinggi dan perlu dipulihara; ia juga boleh dilihat sebagai komponen bumi yang penting untuk kesejahteraan manusia dan perlu diurus dan dimanfaatkan untuk keperluan pembangunan negara; manakala daripada perspektif yang lain pula, alam sekitar boleh dianggap sebagai sumber asli yang memiliki nilai ekonomi yang tinggi yang perlu dimanfaatkan. Dari sudut mana sekalipun alam sekitar itu difahami, ianya tetap dianggap sesuatu yang penting, sama ada penting untuk kesejahteraan manusia seluruhnya ataupun menyumbang kepada kepentingan peribadi seseorang.
Kemelut yang melanda antara usaha memulihara alam sekitar dengan aktiviti memugar-punah alam menjadi lebih meruncing apabila kita telah meletakkan tahun 2020 sebagai tarikh akhir untuk mencapai status negara maju. Ini bermakna kita hanya mempunyai sekitar sepuluh tahun sahaja lagi untuk merancang strategi yang mantap untuk pembangunan negara dan alam sekitar serta memperbaiki apa yang telah rosak dan lemah sebelum ini. Apakah mungkin bagi kita mencapai status tersebut dengan tidak mengorbankan kepentingan alam sekitar? Ini adalah persoalan yang perlu diberi perhatian serius.
Dalam cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu mengatasi pelbagai cabaran yang umumnya tertumpu kepada peningkatan kesejahteraan hidup. Ini bermakna pembangunan di Malaysia akan bersandarkan kepada pembangunan ekonomi sambil memberikan tumpuan untuk memperkukuhkan kestabilan sosial dan politik. Pastinya penekanan pembangunan yang dicita-citakan itu akan tertumpu kepada kepelbagaian gunatanah, perumahan, perindustrian, perhutanan, pertanian dan sebagainya yang kesemuanya membabitkan kepentingan alam sekitar. Apakah kita memiliki keupayaan dan kebijaksanaan untuk mengimbangi arus pembangunan ini? Iaitu keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan alam sekitar, dan antara kemajuan fizikal dengan perkembangan rohaniah.
Memang kita tidak dapat menafikan bahawa pembangunan ekonomi perlu untuk membasmi kemiskinan, membentuk kesejahteraan masyarakat dan memperkukuhkan keadilan sosial. Bagaimanapun, usaha menterjemahkan dasar ekonomi negara kepada masyarakat dan individu tidak selalunya terjadi seperti yang diharapkan. Pembangunan industri tidak lagi dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk membangunkan negara, tetapi lebih dilihat sebagai usaha suatu kelompok atau individu masyarakat memperolehi pengaruh dan kekayaan. Sikap begini telah mendorong pemikiran bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar dianggap sebagai halangan kepada proses pertumbuhan industri dan pertumbuhan ekonomi. Inilah punca utama konflik berterusan antara tuntutan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar; pertembungan fahaman antara golongan pencinta alam dan ahli industri atau usahawan!
Maka dengan itu, untuk menangani konflik tuntutan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar, maka fahaman kita terhadap alam sekitar juga perlu seluas yang mungkin, yang merangkumi bumi dan penghuninya, sistem dan proses-prosesnya. Inilah sahaja satu-satunya planet yang dapat menampung hidupan, dan sewajarnya kita sedar impak negatif pembangunan dan kemerosotan kualiti alam sekitar tidak mengenal sempadan negara atau daerah, bangsa atau kaum.
Pengetahuan manusia mengenai kepentingan alam sekitar untuk kelanjutan hidup dan kesedaran memulihara alam sekitar di kalangan masyarakat perlu dijadikan asas dalam usaha mengimbangi pembangunan dan alam sekitar. Manusia adalah elemen alam sekitar yang terpenting yang dapat mencorakkan masa depan alam sekitar itu sendiri. Ini adalah kerana pengetahuan, pengalaman, kepercayaan dan nilai-nilai positif yang dimiliki dan dihayati oleh manusia adalah penentu nasib alam sekitar sebagaimana ianya telah membina pelbagai budaya bangsa dan sikap manusia dalam sesebuah masyarakat.
Sementara amalan dan kepercayaan negatif sesuatu masyarakat pula lazimnya dikaitkan dengan ketidaksempurnaan tamadun bangsanya sendiri iaitu pengetahuan yang terbatas, kelemahan mengurus, rendah mutu kebanggaan bangsa dan nilai etika yang masih boleh dipersoalkan. Gagasan pemikiran negatif sebegini hanya memberikan tumpuan mengenai kehendak jangka pendek yang tertumpu kepada membina kekuasaan dan kekayaan. Inilah intipati kelemahan manusia yang sering menimbulkan konflik antara pembangunan dan alam sekitar. Hal ini wujud kerana alam sekitar sentiasa dilihat sebagai sumber yang boleh dieksploitasi sesuka hati dan kepentingannya pula boleh diabaikan.
Selain itu beberapa sikap negatif manusia seperti tamak haloba, ‘egoisme' dan ‘materialisme' merupakan kelemahan asas manusia ke arah memusnah alam sekitar sewenang-wenangnya. Sikap tamak merupakan musuh alam sekitar yang paling besar. Dalam keghairahan mengaut keuntungan, peraturan diketepikan, kelemahan perundangan dieksploitasi dan kepentingan umum serta bahaya tidak diambilkira. Sesungguhnya penghayatan nilai-nilai positif dan negatif oleh sesuatu budaya masyarakat dan sikap manusia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan konflik pembangunan dan alam sekitarnya.
Oleh hal yang demikian amat wajar bagi kita kembali menilai sejauh mana kefahaman terhadap falsafah pemuliharaan alam sekitar menjadi amalan dalam kehidupan seharian. Falsafah pemuliharaan sebenar ialah usaha mengurus alam sekitar untuk kepentingan masyarakat masa kini dengan tidak mengabaikan kepentingan¬nya untuk generasi akan datang. Ini bererti seseorang itu bukannya menolak pembangunan sepenuhnya, tetapi membawa maksud seorang manusia itu adalah seorang yang bijaksana untuk mengimbangi antara tuntutan pembangunan dengan kepentingan memulihara alam sekitar.
Sekiranya ilmu pengetahuan dan pengalaman lepas telah mengajar kita bahawa banyak sudah spesis di mukabumi ini musnah dan pupus disebabkan malapetaka yang menimpa ke atas mereka, maka tidak mustahil spesis manusia juga boleh pupus hanya disebabkan oleh bencana yang dicipta oleh tangan manusia itu sendiri!

© 1992 - 2010 INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

ISU KEMISKINAN DI MALAYSIA


KEMISKINAN TEGAR AKAN HAPUS TAHUN DEPAN
Selasa, 05 Mei 2009 23:57
LANGKAWI, 28 April - Perkembangan pesat ekonomi negara sejak beberapa dekad lepas telah membantu Malaysia mengurangkan kadar kemiskinan daripada 58.7 peratus pada 1970 kepada 7.1 peratus sahaja pada 2007 manakala kadar kemiskinan tegar kini hanyalah 1.4 peratus.   Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Malaysia berazam menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun depan.   "Cabaran utama ialah membina asas dan infrastuktur yang kukuh untuk meletakkan sosio-ekonomi golongan itu pada landasan yang betul," katanya ketika berucap pada dialog serantau mengenai pembasmian kemiskinan di luar bandar di sini hari ini.   Shafie berkata, tindakan itu dilaksanakan berasaskan tiga konsep iaitu memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti termasuk latihan vokasional dan memperbanyakan peluang latihan semula.    Konsep kedua ialah dengan melihat cara lebih inovatif bagi menggalakkan aktiviti ekonomi untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, dan ketiga, ialah memperluaskan skim bantuan termasuk bidang kecil yang sensitif khususnya berkaitan pinjaman kewangan.    Shafie berkata, pelaksanaan program secara bersepadu dan mempelbagaikan bidang sosio-ekonomi untuk lebih 30,000 golongan miskin tegar menjadi pilihan kerajaan bagi menangani krisis ekonomi global. - BERNAMA

Sumber : Utusan Malaysia, 29/04/09

Yakinlah! Hanya Sistem Ekonomi Islam Sahajalah Yang Mampu Untuk Menghapuskan Kemiskinan Tegar

Azam yang ditunjukkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk menghapuskan kemiskinan tegas menjelang tahun depan adalah sesuatu yang baik. Tetapi yakinlah bahawa azam ini akan hanya tinggal azam sekiranya penerapan sistem Kapitalisme seperti yang sedia ada terus diperpanjangkan. Rekod dan sejarah telah membuktikan betapa sistem Kapitalisme yang menguasai dunia saat ini tetah gagal untuk membawa kesejahteraan kepada manusia sejagat. Hatta kuasa terbesar dunia Kapitalisme saat ini, Amerika Syarikat sendiri telah gagal untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang mereka dihadapi. Justeru itu kita menyeru kepada para pemimpin umat Islam agar kembali kepada penyelesaian Islam untuk menyelesaikan apa sahaja persoalan dan masalah yang dihadapi oleh umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Ini termasuklah untuk menyelesaikan perkara yang berkaitan dengan kemiskinan yang ada hubung kaitnya dengan sistem ekonomi. Islam sebagai suatu sistem kehidupan yang lengkap dan sempurna dari Allah SWT, Tuhan yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan telah mempunyai bukti dan catatan yang memanifestasikan kemampuannya sebagai penyelesai kepada persoalan dan masalah yang dihadapi oleh manusia termasuklah yang berkaitan dengan masalah kemiskinan. Apakah kita lupa bagaimana di zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz tidak terdapat seorang pun yang layak untuk menerima zakat. Ini sebagaimana diungkapkan oleh Yahya bin Sa’id, seorang petugas amil zakat pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Beliau berkata, "Khalifah Umar bin Abdul Aziz  telah mengutusku untuk mengumpulkan zakat orang Afrika. Lalu aku menariknya dan aku minta dikumpulkan orang-orang fakirnya untuk kuberi zakat. Tapi ternyata tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang mengambilnya. " [Ulwan, 1985:2, As-Siba'i, 1981:392]. Inilah kehebatan sistem Islam. Nah! Bilakah lagi para pemimpin umat Islam akan mengambil sistem Islam yang dijamin oleh Allah SWT sebagai rahmat kepada seluruh alam?

”Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
[TMQ Al Anbiyaa' (21) : 107]

SISTEM PENGANGKUTAN AWAM MENJANA PEMBANGUNAN NEGARA



24 September 2008
http://www.yadim.com.my/Images/spacer.gifOleh NOORZIHAN MOHAMED YIN
DI Stockholm, ibu negara Sweden, pemandangan warga kotanya yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer berbasikal ke pejabat adalah perkara biasa. Kenderaan persendirian hanya dilihat menghiasi garaj kerana rata-rata masyarakatnya - selain berbasikal lebih selesa menggunakan pengangkutan awam. Di Shanghai, China pula, kerajaan tempatannya menerapkan elemen penggunaan secara maksimum pengangkutan awam di kalangan warganya. Namun di Malaysia, situasinya sangat berbeza, dengan pengangkutan awam dilihat sebagai sebuah sistem yang beroperasi dengan kurang cekap dan berkesan. Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bermula daripada kaunter tiket selain perkhidmatan yang pantas, maklumat yang baik, kemudahan tempahan, pilihan laluan serta ketepatan waktu, gagal dijadikan sebagai petunjuk penting bagi menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam. Pelbagai isu dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna. Namun, dalam menghadapi tekanan akibat kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen yang berkuat kuasa 5 Jun lalu, rakyat terutamanya yang mendiami bandar-bandar besar, berusaha mencari pelbagai ruang alternatif untuk berjimat-cermat.
Keadaan ini tidak memberikan banyak pilihan kepada rakyat, apatah lagi menyedari kesan berantai seiring dengan kenaikan minyak yang secara langsung turut melonjakkan harga barang dan perkhidmatan dalam pasaran. Lantaran menyedari perlunya mengawal perbelanjaan waktu ini, mahu tidak mahu, penggunaan kemudahan awam yang sedia ada seperti bas, komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), monorel, dan teksi, terpaksa diaplikasikan.
PERKHIDMATAN BAS
Semenjak perkhidmatan bas awam diperkenalkan secara sistematik pada tahun 1935 oleh General Transport Company milik British, operasi pengangkutan bas awam dibiayai sepenuhnya oleh pengusaha swasta. Tidak dinafikan, perkhidmatan pengangkutan bas awam di Malaysia telah melalui tahun-tahun yang cemerlang. Namun kini, kecemerlangan tersebut tidak lagi dinikmati. Sejarah pengangkutan bas awam yang pernah muncul dan lenyap di Kuala Lumpur seperti Sri Jaya, Toong Foong, Len Chee, Foh Hup, KL Klang, Naiela, Selangor Bus, Cityliner dan Park May, dahulunya dikendalikan oleh pengusaha persendirian tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak. Malangnya, akibat daripada situasi yang menekan negara menyebabkan banyak syarikat bas terpaksa memberhentikan perkhidmatan mereka kerana kos operasi yang tidak lagi dapat ditanggung memandangkan kali terakhir tambang bas henti-henti dinaikkan ialah pada 2005, iaitu daripada 40 sen kepada 60 sen untuk dua kilometer. Di Pulau Pinang, seluruh sistem pengangkutan bas menjadi lumpuh apabila syarikat Hin Bus, Yellow Bus, Lim Seng Bus, Kenderaan Juara, Kiara Tuah dan Kiara Melati menamatkan perkhidmatan. Nasib malang tersebut turut dialami syarikat-syarikat bas di Selangor seperti Foh Hup Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus yang terpaksa gulung tikar. Keadaan tidak kurang buruknya di Kedah dan Perlis. Syarikat perkhidmatan bas awam utama negeri-negeri tersebut iaitu Kubang Pasu Transport, Perlis Transport dan Kuala Kedah Transport mungkin terpaksa menamatkan perkhidmatan sekiranya situasi tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Pihak kerajaan pernah mengambil langkah pembaikan melalui konsortium pengangkutan sekitar lewat 90-an dahulu. Menerusi penggabungan beberapa syarikat bas di Lembah Klang di bawah Intrakota Consolidated dan Park May Berhad, langkah tersebut juga tidak membawa hasil yang menggalakkan. Beban perbelanjaan modal yang terlalu besar akibat daripada kos pembelian bas daripada luar negara, kos alat-alat ganti yang terpaksa diimport dan kos penyelenggaraan kenderaan yang tinggi terpaksa ditanggung. Bilangan bas yang tidak mencukupi selain sistem pemandu perseorangan yang tidak efektif, pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai masalah logistik, menyebabkan kelewatan perjalanan selain mampu mengundang bahaya ketika di jalan raya. Semua kesulitan ini mengecewakan para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan mereka. Mereka bukan sahaja perlu menanggung kadar tambang yang tinggi dan tidak berbaloi, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan perkhidmatan bas yang tidak menentu.
Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah pengurangan kos sebaliknya, menimbulkan masalah-masalah lain pula seperti keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai lagi. Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan situasi tidak selesa kepada pengguna tempatan tetapi juga memberikan tanggapan negatif kepada pelancong-pelancong asing. Tanggapan sedemikian sudah tentu tidak akan menyumbang kepada industri pelancongan negara yang sangat bergantung kepada sistem pengangkutan awam yang lancar dan selesa.  
PERKHIDMATAN REL
Wujudnya Sentral Kuala Lumpur atau lebih dikenali dengan panggilan KL Sentral sebagai hab pengangkutan utama rel awam dilihat sebagai permulaan yang baik. Malangnya, sistem pengangkutan awam yang telah menjangkau usia antara 12 hingga 13 tahun ini masih lagi tidak menampakkan kematangannya. Semenjak pelaksanaannya, masalah seperti tren lambat, tren yang tiba-tiba berhenti atau rosak, terlalu sesak, penghawa dingin yang tidak berfungsi dan masalah-masalah lain masih lagi berlaku. Keadaannya yang bagaikan sardin, lebih-lebih lagi waktu puncak turut memberikan kesan negatif kepada tanggapan pengguna. Keadaan ini turut dikesali Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan rel di ibu negara. Beliau yang meninjau dan merasai sendiri menggunakan kemudahan perkhidmatan rel ini pada 21 Ogos lalu mendapati bahawa perkhidmatan rel ini tidak sistematik, jadual ketibaan tidak teratur, gerabak tidak mencukupi dan liputan laluan tidak meluas. Jadual waktu tren yang tidak tepat menyumbang kepada sikap negatif penumpang seperti berebut-rebut, tidak beratur ketika memasuki tren serta sikap kurang prihatin terhadap warga tua, warga kurang upaya dan wanita mengandung. Senario ini bukan sahaja menjengkilkan, malah turut memberikan pandangan buruk kepada pelancong-pelancong luar yang mana secara langsung akan turut menjejaskan industri pelancongan negara.
PERKHIDMATAN TEKSI
Bilangan teksi sebanyak 30,000 masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pengguna yang ada. Daripada jumlah ini, sebanyak 21,000 buah teksi yang terdapat di Lembah Kelang masih tidak mencukupi. Dianggarkan 3,000 buah teksi diperlukan bagi menambah jumlah sedia ada. Ironinya, dengan nisbah sebuah teksi bagi 500 orang penumpang, diburukkan lagi dengan perlakuan tidak bertanggungjawab pemandu teksi yang mengambil kesempatan mengenakan caj tidak munasabah selain tidak menggunakan meter, telah menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna. Rasa tidak puas hati pengguna terhadap caj teksi yang terlalu tinggi ini telah menjadi satu isu yang berlarutan sekian lama. Malah, situasi ini diburukkan lagi dengan tindakan tidak berdisplin dan tidak bermoral di kalangan sesetengah pemandu teksi yang menggunakan perkataan yang tidak sopan dan menghina penumpang yang meminta pemandu teksi untuk menggunakan meter. Gesaan untuk menarik balik lesen pemandu teksi yang mengenakan caj tanpa menggunakan meter seolah-olah tidak pernah diambil berat. Malah, terdapat banyak kes di mana para pengguna terpaksa bertegang urat dengan pemandu teksi dalam menetapkan kadar tambang ke sesuatu destinasi. Sekiranya pemandu teksi tidak berpuas hati dengan kadar yang ditetapkan oleh penumpang maka akibatnya, pengguna terpaksa menunggu teksi yang lain pula. Senario sebegini sukar dilihat di negara lain. Di Kaherah, Mesir misalnya, perkhidmatan teksinya tidak menggunakan sistem meter tetapi mengamalkan sistem tawar-menawar di antara penumpang dengan pemandu. Pemandu juga tidak pernah mengelak daripada mengambil penumpang. Pengguna tidak perlu menunggu lama lebih dari lima minit untuk mendapatkan khidmat teksi. Masalah kewujudan ‘ulat-ulat’ teksi yang licik dan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan turut mencemarkan imej pengangkutan awam ini. Kehadirannya di lokasi-lokasi tertentu terutamanya di lapangan terbang mampu memberikan mereka pendapatan lumayan sehingga antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan. Masalah ini pula bagaikan tiada surutnya lantaran tiadanya pemantauan berterusan dalam penggunaan meter di kalangan pemandu teksi. Ini juga ditambah dengan alasan-alasan pemandu teksi itu sendiri seperti pendapatan daripada teksi bermeter tidak mencukupi kerana terdapat pelbagai caj yang dikenakan terhadap pemandu teksi iaitu seperti sewa teksi, sewa permit, minyak, penyelenggaraan kenderaan, cukai jalan, insurans kenderaan, pemeriksaan kesihatan tahunan dalam usaha untuk memperbaharui lesen dan salah satu kewajipan dalam ujian Puspakom.
LANGKAH PENAMBAHBAIKAN
Saranan yang dilaungkan kerajaan bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan jalan raya akan hanya menjadi laungan kosong jika sistem itu tidak diperhalusi dan diperbaiki terlebih dahulu. Sebagai langkah permulaan, satu sistem yang berintegrasi, komprehensif dan tersusun di antara laluan terutamanya monorel, LRT, komuter dan bas perlu diusahakan. Langkah yang diaplikasikan oleh negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun ini telah terbukti kejayaannya. Melalui sistem ini, setiap penumpang dapat turun bas dan pada masa yang sama dapat menggunakan perkhidmatan LRT yang juga terletak di tempat yang sama. Selain itu, pembabitan terlalu banyak badan yang menyelaras dan mengendalikan pengangkutan awam juga dilihat tidak membantu dalam menjamin kecekapan sistem perkhidmatan awam negara. Bidang kuasa yang bertindih berhubung pengeluaran lesen, pengesanan, pengujian kenderaan dan penguatkuasaan menimbulkan kekeliruan dan menjadi penyebab kepada pelbagai masalah yang timbul. Di bandar-bandar utama seperti London, New York dan Singapura terdapat badan tunggal yang menguruskan pengangkutan awamnya. Malangnya keadaan itu tidak berlaku di Malaysia kerana 13 agensi dan jabatan kerajaan terlibat dalam soal pengangkutan yang akhirnya bukan menyelesaikan tetapi memburukkan lagi masalah. Pengeluaran permit kenderaan komersial misalnya, diletakkan di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Pengeluaran cukai jalan dan penguatkuasaan peraturan jalan raya, dipegang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala perkhidmatan rel dan tren pula di bawah Jabatan Keretapi. Kedua-dua jabatan ini adalah di bawah Kementerian Pengangkutan. Kemudahan pengangkutan awam seperti perhentian bas, terminal bas, lorong bas pula di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan. Masalah ini turut ditegur Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengakui penyelesaian kepada masalah lalu lintas negara sepatutnya memberikan kelegaan melangkaui tempoh 20 hingga 30 tahun. Tidak hanya sekadar untuk tempoh setahun dua sahaja. Ironinya, sistem perkhidmatan pengangkutan awam sekarang tidak mempunyai data statistik keperluan sebenar bagi pengangkutan awam. Oleh hal yang demikian itu, suatu kajian menyeluruh mengenai operasi pengangkutan awam di negara ini juga menjadi suatu keperluan yang bertindak sebagai rujukan atau penanda aras kepada keberkesanan dan kecekapannya selama ini. Menurut pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor, dengan maklumat yang diperoleh daripada kajian itu, kerajaan akan dapat membina sebuah pangkalan data indeks kualiti industri pengangkutan awam khusus untuk memantau sektor itu secara berterusan. Pangkalan data ini akan mengumpul maklumat terperinci berkenaan sektor pengangkutan selain perlu dikemas kini secara tahunan sebagai rujukan kepada semua pihak termasuk pengguna, pengusaha dan kerajaan. Melalui usaha itu, kerajaan dan syarikat pengusaha dapat memantau operasi perkhidmatan pengangkutan awam mengikut situasi semasa termasuk peningkatan kos ekoran kenaikan harga minyak seperti yang berlaku ketika ini. Menerusi hasil kajian yang sama juga, kerajaan dapat mengenal pasti punca peningkatan kos dan menyalurkan subsidi secara lebih tersusun dan sistematik seterusnya memuaskan hati pengusaha dan pengguna. Sasaran penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2020 daripada hanya 20 peratus pada masa kini, dilihat sebagai langkah permulaan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam negara. Langkah ini bertujuan mengikuti kejayaan negara-negara jiran mengaplikasikan sistem pengangkutan awamnya di mana Singapura sebanyak 56 peratus, Bangkok (30 peratus), Manila (54 peratus), Tokyo (49 peratus) dan Seoul (60 peratus).
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi perbentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dalam agenda pembangunan negara, telah membentangkan lima Teras Utama Misi Nasional yang mana antara strategi utama teras keempatnya adalah menambah baik kemudahan pengangkutan. Penambahbaikan ini meliputi agenda meningkatkan liputan sistem rel transit bandar di samping memperbanyak terminal pengangkutan awam bersepadu meliputi perkhidmatan komuter, bas, teksi, LRT, ERL dan monorel bagi tujuan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian terutama di kawasan Lembah Kelang. Bagi mencapai maksud tersebut, Suruhanjaya Pengangkutan Awam ditubuhkan bagi merangka Pelan Induk Pengangkutan. Usaha ini termasuk juga di negeri Sabah dan Sarawak yang mana rangkaian jalan rayanya akan diperluas terutama di kawasan pedalaman. Perhatian yang sama turut diberikan di dalam perbentangan Belanjawan tahun 2009. Bertemakan kerajaan prihatin, belanjawan 2009 menumpukan kepada penambahbaikan pengangkutan awam dalam konteks meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup sekaligus membantu pembangunan negara. Peruntukan sebanyak RM35 bilion disediakan bagi perbelanjaan dalam tempoh enam tahun bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan baru, menambah bilangan bas dan menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan. Sistem LRT sedia ada di Lembah Klang akan dipanjangkan sejauh 30 kilometer (km), iaitu masing-masing sepanjang 15 km bagi aliran Kelana Jaya dan aliran Ampang. Dijangka siap pada 2011, seramai 2.6 juta penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ dan Koridor Kinrara-Puchong akan menikmatinya berbanding 1.9 juta orang pada masa ini. Pembelian 35 set tren aliran Kelana Jaya baru yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2010 juga akan meningkatkan kapasiti penumpang lebih dua kali ganda. Daripada 160,000 penumpang sehari pada masa ini meningkat kepada 350,000 penumpang sehari. Aliran Ampang pula akan mempunyai kapasiti 280,000 penumpang sehari berbanding 150,000 penumpang pada masa ini. Laluan baru dari Kota Damansara ke Cheras iaitu meliputi laluan sepanjang 42km akan turut ditambah. Laluan yang dijangka siap pada 2014, dengan kapasiti melebihi 300,000 penumpang sehari, akan memberi perkhidmatan rel bagi kawasan kediaman, perdagangan dan kewangan Koridor Kota Damansara-Cheras yang mempunyai bilangan penduduk lebih sejuta orang. Pengambilalihan aset dan operasi KL Monorail daripada operator swasta pada akhir tahun 2007 turut meningkatkan jumlah penumpang lebih 10 peratus Langkah ini akan menyumbang kepada usaha menjadikan perkhidmatan rel bandar di Lembah Klang lebih berintegrasi. Perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad turut dipertingkatkan. Langkah itu termasuk membaik pulih 20 set ´Electric Multiple Unit (EMU) sedia ada yang dijangka siap pada 2009. Sejumlah 13 EMU baru juga akan ditambah menjelang 2011. Bagi memperluaskan jaringan perkhidmatan rel komuter, laluan Sentul-Batu Caves sepanjang 7.5 km sedang dibina dan dijangka siap menjelang 2010. Di samping itu, dua projek utama sedang dilaksanakan bagi meningkatkan perkhidmatan KTM, iaitu projek landasan berkembar elektrik Seremban-Gemas, yang dijangka siap pada 2012 dan Ipoh-Padang Besar pada 2013. Terminal pengangkutan bersepadu bagi kemudahan teksi dan bas antara bandar juga akan dibina di Bandar Tasik Selatan. Terminal moden lima tingkat ini mempunyai kapasiti menampung lebih 130 teksi dan 100 bas, kemudahan letak kereta dan ruang komersial, selain berhubung dengan rel aliran Ampang, ERL dan KTM Komuter serta teksi dan bas bandar di Lembah Klang. Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) telah menyaksikan kejayaan dengan pertambahan dalam purata jumlah penumpang bas dan Transit Aliran Ringan (LRT) sejak pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan pada 5 Jun lalu. Bagi operasi bas, purata jumlah penumpangnya meningkat sebanyak 7.5 peratus daripada 365,111 kepada 392,654 penumpang sehari manakala bagi LRT, puratanya meningkat sebanyak 3.9 peratus daripada 313,753 kepada 326,095 sehari.Sebagai langkah membantu mengurangkan kos operasi operator pengangkutan awam, kerajaan telah meningkatkan kuota subsidi diesel selain kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam. Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membiayai perolehan aset bas dan rel. Bayaran tol juga telah dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun bermula 15 September 2008. Pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan perbelanjaannya diberi elaun modal turut dipercepatkan. Cukai jalan juga dikurangkan kepada RM20 setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin. Bagi memastikan perhatian khusus diberikan kepada usaha memajukan sistem pengangkutan awam bandar secara menyeluruh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem perkhidmatan pengangkutan awam. Suruhanjaya ini dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2009. Pengalaman penyelidikan oleh penyelidik dari negara-negara maju telah membuktikan bahawa pengangkutan boleh bertindak sebagai pra-syarat yang penting dalam membangunkan negara. Model yang terbina daripada penyelidikan menunjukkan pengaruh yang positif dan signifikan infrastruktur pengangkutan terhadap pembangunan sosioekonomi sesuatu kawasan, wilayah atau negara. Di Malaysia, penelitian di kawasan luar bandar dan antara bandar, antara lain, oleh Lienbach (1971) dan Abd Rahim Md Nor (1996) menunjukkan perkaitan yang serupa. Menyedari hal ini, langkah kerajaan di dalam Belanjawan 2008 ini dilihat sebagai langkah yang bijak. Sistem pengangkutan yang baik dan komprehensif bertindak sebagai penjana bagi menarik pelabur asing serta pelancong. Kecekapan dan keberkesanannya, penentu pembangunan suatu bangsa dan negara.