Oleh Abu Bakar bin Yang
Fellow IKIM
25/12/2009
Sidang Iklim Copenhagen di Denmark sudahpun berakhir, namun satu langkah yang kukuh dan mantap untuk memperbaiki alam yang semakin terancam ini masih belum juga muncul. Tujuan asal persidangan ini ialah untuk mencapai perjanjian baru mengenai pengurangan gas rumah hijau yang dianggap sebagai ancaman utama dunia masa kini selain mengumpul dana untuk bantuan teknologi hijau ke negara-negara miskin tetapi hasrat tersebut tidak juga tercapai walaupun dengan kehadiran 15,000 orang peserta dari 192 negara.
Malaysia sebagai salah sebuah negara yang hadir dalam persidangan tersebut nyata kecewa dengan komitmen negara-negara maju terutamanya Amerika Syarikat. Bagi hampir semua pemimpin dan wakil negara dunia yang hadir, Persidangan Copenhagen gagal mencapai kesepakatan melainkan sedikit kejayaan dari segi komitmen politik untuk mengadakan lagi persidangan tahun depan yang mungkin lebih bermakna dan konstruktif.
Namun bagi kita yang masih menghuni alam yang semakin tercemar ini, adakah kita harus berdiam diri dengan hanya menunggu persidangan tahun hadapan yang masih belum pasti apakah keputusannya. Kita semua telah sedia maklum bahawa keperluan pembangunan untuk kesejahteraan manusia adalah sama pentingnya dengan tanggungjawab mengekalkan kesejahteraan alam sekitar, dan ianya merupakan tuntutan yang selari dan perlu dilakukan secara bersama. Malah, jika ditinjau dengan lebih mendalam lagi, sebenarnya keperluan kesejahteraan manusia perlu didokong oleh usaha mengekalkan kesejahteraan alam sekitar dan bukan sebaliknya. Ini bermakna kualiti alam sekitar yang merosot akan membawa kepada kemusnahan sumber alam dan akhirnya mengancam kesejahteraan manusia.
Mengapa timbul konflik antara tuntutan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar sedangkan kedua-dua tuntutan ini merupakan keperluan asas kesejahteraan manusia. Bagi kita yang beragama Islam, kita seharusnya lebih terkehadapan dan menjadi wira dalam menyelamatkan alam ini kerana kitalah yang sepatutnya lebih memahami bahawa ajaran Islam memberi keutamaan dan mesra terhadap alam persekitarannya.
Jika kita meneliti kefahaman terhadap alam sekitar yang difahami oleh masyarakat masa kini pastinya ianya ditakrifkan dalam pelbagai perspektif yang berbeza-beza. Bagi golongan pencinta alam, pembuat dasar dan ahli perniagaan tentunya akan memberikan makna kepada alam sekitar mengikut perspektif dan nilai masing-masing. Umpamanya, alam sekitar boleh ditakrifkan sebagai bahagian muka bumi yang memiliki nilai kebudayaan dan saintifik yang tinggi dan perlu dipulihara; ia juga boleh dilihat sebagai komponen bumi yang penting untuk kesejahteraan manusia dan perlu diurus dan dimanfaatkan untuk keperluan pembangunan negara; manakala daripada perspektif yang lain pula, alam sekitar boleh dianggap sebagai sumber asli yang memiliki nilai ekonomi yang tinggi yang perlu dimanfaatkan. Dari sudut mana sekalipun alam sekitar itu difahami, ianya tetap dianggap sesuatu yang penting, sama ada penting untuk kesejahteraan manusia seluruhnya ataupun menyumbang kepada kepentingan peribadi seseorang.
Kemelut yang melanda antara usaha memulihara alam sekitar dengan aktiviti memugar-punah alam menjadi lebih meruncing apabila kita telah meletakkan tahun 2020 sebagai tarikh akhir untuk mencapai status negara maju. Ini bermakna kita hanya mempunyai sekitar sepuluh tahun sahaja lagi untuk merancang strategi yang mantap untuk pembangunan negara dan alam sekitar serta memperbaiki apa yang telah rosak dan lemah sebelum ini. Apakah mungkin bagi kita mencapai status tersebut dengan tidak mengorbankan kepentingan alam sekitar? Ini adalah persoalan yang perlu diberi perhatian serius.
Dalam cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju, kita perlu mengatasi pelbagai cabaran yang umumnya tertumpu kepada peningkatan kesejahteraan hidup. Ini bermakna pembangunan di Malaysia akan bersandarkan kepada pembangunan ekonomi sambil memberikan tumpuan untuk memperkukuhkan kestabilan sosial dan politik. Pastinya penekanan pembangunan yang dicita-citakan itu akan tertumpu kepada kepelbagaian gunatanah, perumahan, perindustrian, perhutanan, pertanian dan sebagainya yang kesemuanya membabitkan kepentingan alam sekitar. Apakah kita memiliki keupayaan dan kebijaksanaan untuk mengimbangi arus pembangunan ini? Iaitu keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan alam sekitar, dan antara kemajuan fizikal dengan perkembangan rohaniah.
Memang kita tidak dapat menafikan bahawa pembangunan ekonomi perlu untuk membasmi kemiskinan, membentuk kesejahteraan masyarakat dan memperkukuhkan keadilan sosial. Bagaimanapun, usaha menterjemahkan dasar ekonomi negara kepada masyarakat dan individu tidak selalunya terjadi seperti yang diharapkan. Pembangunan industri tidak lagi dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk membangunkan negara, tetapi lebih dilihat sebagai usaha suatu kelompok atau individu masyarakat memperolehi pengaruh dan kekayaan. Sikap begini telah mendorong pemikiran bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar dianggap sebagai halangan kepada proses pertumbuhan industri dan pertumbuhan ekonomi. Inilah punca utama konflik berterusan antara tuntutan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar; pertembungan fahaman antara golongan pencinta alam dan ahli industri atau usahawan!
Maka dengan itu, untuk menangani konflik tuntutan pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar, maka fahaman kita terhadap alam sekitar juga perlu seluas yang mungkin, yang merangkumi bumi dan penghuninya, sistem dan proses-prosesnya. Inilah sahaja satu-satunya planet yang dapat menampung hidupan, dan sewajarnya kita sedar impak negatif pembangunan dan kemerosotan kualiti alam sekitar tidak mengenal sempadan negara atau daerah, bangsa atau kaum.
Pengetahuan manusia mengenai kepentingan alam sekitar untuk kelanjutan hidup dan kesedaran memulihara alam sekitar di kalangan masyarakat perlu dijadikan asas dalam usaha mengimbangi pembangunan dan alam sekitar. Manusia adalah elemen alam sekitar yang terpenting yang dapat mencorakkan masa depan alam sekitar itu sendiri. Ini adalah kerana pengetahuan, pengalaman, kepercayaan dan nilai-nilai positif yang dimiliki dan dihayati oleh manusia adalah penentu nasib alam sekitar sebagaimana ianya telah membina pelbagai budaya bangsa dan sikap manusia dalam sesebuah masyarakat.
Sementara amalan dan kepercayaan negatif sesuatu masyarakat pula lazimnya dikaitkan dengan ketidaksempurnaan tamadun bangsanya sendiri iaitu pengetahuan yang terbatas, kelemahan mengurus, rendah mutu kebanggaan bangsa dan nilai etika yang masih boleh dipersoalkan. Gagasan pemikiran negatif sebegini hanya memberikan tumpuan mengenai kehendak jangka pendek yang tertumpu kepada membina kekuasaan dan kekayaan. Inilah intipati kelemahan manusia yang sering menimbulkan konflik antara pembangunan dan alam sekitar. Hal ini wujud kerana alam sekitar sentiasa dilihat sebagai sumber yang boleh dieksploitasi sesuka hati dan kepentingannya pula boleh diabaikan.
Selain itu beberapa sikap negatif manusia seperti tamak haloba, ‘egoisme' dan ‘materialisme' merupakan kelemahan asas manusia ke arah memusnah alam sekitar sewenang-wenangnya. Sikap tamak merupakan musuh alam sekitar yang paling besar. Dalam keghairahan mengaut keuntungan, peraturan diketepikan, kelemahan perundangan dieksploitasi dan kepentingan umum serta bahaya tidak diambilkira. Sesungguhnya penghayatan nilai-nilai positif dan negatif oleh sesuatu budaya masyarakat dan sikap manusia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan konflik pembangunan dan alam sekitarnya.
Oleh hal yang demikian amat wajar bagi kita kembali menilai sejauh mana kefahaman terhadap falsafah pemuliharaan alam sekitar menjadi amalan dalam kehidupan seharian. Falsafah pemuliharaan sebenar ialah usaha mengurus alam sekitar untuk kepentingan masyarakat masa kini dengan tidak mengabaikan kepentingan¬nya untuk generasi akan datang. Ini bererti seseorang itu bukannya menolak pembangunan sepenuhnya, tetapi membawa maksud seorang manusia itu adalah seorang yang bijaksana untuk mengimbangi antara tuntutan pembangunan dengan kepentingan memulihara alam sekitar.
Sekiranya ilmu pengetahuan dan pengalaman lepas telah mengajar kita bahawa banyak sudah spesis di mukabumi ini musnah dan pupus disebabkan malapetaka yang menimpa ke atas mereka, maka tidak mustahil spesis manusia juga boleh pupus hanya disebabkan oleh bencana yang dicipta oleh tangan manusia itu sendiri!
© 1992 - 2010 INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)
No comments:
Post a Comment