Friday, April 30, 2010

ISLAM DAN PENGURUSAN BENCANA ALAM

Islam Dan Pengurusan Bencana Alam


Azrina Bt. Sobian
Pegawai Penyelidik

27/01/2005


Bencana alam datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ada sesetengah bencana ini boleh dijangkakan manakala sebahagian lainnya tidak. Bencana alam telah berlaku di muka bumi ini sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Namun, kejadian ini akan hanya dikenali sebagai bencana hanya apabila ia melibatkan kehilangan nyawa manusia. Walaupun bencana yang datang meninggalkan kesan yang menggerunkan namun amat penting dan menarik bagi kita mengetahui dan mempelajarinya. Bencana alam sebahagian besarnya berlaku akibat dari proses semulajadi alam. Namun, dalam keadaan tertentu, bencana alam juga boleh berlaku akibat dari campur tangan manusia. Dalam kes-kes yang lainnya, kesan-kesan dari bencana alam meningkat intensitinya akibat tingkah-laku manusia di dalam alam ini. Di Malaysia bencana alam jarang berlaku. Walaupun begitu, antara bentuk-bentuk bencana yang kerap direkodkan di negara ini adalah banjir, banjir kilat dan tanah runtuh. Sepanjang sepuluh tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa peristiwa bencana alam yang mendapat liputan meluas seperti Tragedi Highland Tower (1993), Tragedi Pos Dipang (1996), Tragedi Ribut Greg di Sabah (1996), kejadian tanah runtuh di Gombak (2004) dan banyak lagi. Manakala, tragedi hempasan ombak besar Tsunami pada 26 Disember 2004 yang lalu merupakan yang pertama kali berlaku dan tidak mungkin kita semua lupakan.



Tragedi-tragedi alam ini boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia di bumi ini. Ayat 41, surah Ar-Ruum menyatakan; "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)" Ayat ini membuktikan bahawa bencana alam yang berlaku di muka bumi ini ada kaitannya dengan perilaku manusia yang tidak berhemah kepada alamnya. Oleh itu, umat manusia sentiasa diingatkan supaya tidak "mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan" (Surah al-Baqarah, 2: 195). Tindakan-tindakan manusia yang mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekologi adalah satu tindakan yang akan membawa manusia ke arah kemusnahan. Ini kerana, hubung kait antara manusia dan alam sangat rapat. Manusia yang memusnahkan alam boleh diibaratkan sebagai memusnahkan kehidupannya sendiri. Sementara itu, dalam apa jua keadaan, manusia diarahkan untuk membuat persediaan, sama ada persediaan untuk menghadapi sesuatu yang buruk atau membuat persediaan untuk melakukan sesuatu yang baik. Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t. sering mengingatkan manusia untuk bersiap sedia. Ayat 71, surah An-Nisa' (4) menyatakan "bersedialah dan berjaga-jagalah" dan ini membuktikan bahawa membuat persediaan sebelum sesuatu berlaku atau sebelum melakukan sesuatu bukanlah satu perkara asing bagi Islam. Di dalam al-Quran juga diceritakan tentang nasihat Nabi Yusuf kepada Raja Mesir. Raja Mesir telah bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus serta melihat tujuh tangkai biji-bijian yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Dengan itu, Nabi Yusuf a.s. mentafsirkan bahawa negeri Mesir bakal berhadapan dengan tujuh tahun musim kemarau. Oleh itu, rakyat Mesir diminta bersiap-sedia bercucuk tanam dengan bersungguh-sungguh selama tujuh tahun bagi menghadapi musim kemarau itu. Dalam kisah di atas, persediaan yang rapi dilakukan bagi menghadapi bencana kemarau. Oleh itu, semasa musim kemarau tiba, mereka sudah mempunyai cukup makanan untuk berhadapan dengan bencana tersebut. Bukan itu sahaja, penduduk negeri tersebut juga telah menyimpan biji benih yang baik untuk ditanam semula selepas musim kemarau berlalu. Lihatlah betapa persediaan merupakan sesuatu yang perlu dilakukan bagi menghadapi bencana. Samalah halnya dengan usaha untuk membangunkan satu sistem amaran awal bencana. Ini merupakan satu bentuk persediaan yang memang dituntut dalam Islam. Sistem ini akan membantu kita mengesan kemungkinan berlakunya bencana alam. Dalam kes bencana Tsunami, sistem tersebut boleh mengesan gegaran yang akan menyebabkan Tsunami berlaku.



Sistem ini terdiri daripada unit-unit seismograf (alat pengesan gempa bumi), pengesan ombak dan alat DART. Alat DART inilah yang akan menilai dan melaporkan kewujudan dan intensiti ombak Tsunami selepas gempa bumi di lautan berlaku. Pada ketika ini, sistem amaran ombak Tsunami di Lautan Pasifik telah terbukti berkesan menyampaikan maklumat berkaitan bencana ini. Misalnya di Jepun, sebelum pembinaan sistem ini, 14 kejadian Tsunami telah mengorbankan lebih 6000 orang di Jepun. Dengan pengenalan sistem ini, terdapat 20 kejadian Tsunami yang mengorbankan 215 orang sahaja. Ini membuktikan bahawa sistem tersebut yang disokong sistem komunikasi yang cekap di negara-negara Lautan Pasifik memang berkemampuan memberikan maklumat yang betul berkenaan ombak Tsunami. Oleh itu, peranan sistem komunikasi juga amat penting. Sistem amaran awal ini tidak akan dapat berfungsi dengan baik jika jaringan komunikasi negara-negara di Lautan Hindi tidak cekap. Jaringan komunikasi ini penting bagi memastikan maklumat bencana dapat disampaikan secepat mungkin kepada negara-negara yang terlibat. Apalah gunanya sistem yang menelan belanja RM76 juta ini jika maklumat yang diperolehi itu tidak dapat disalurkan kepada negara-negara penerima bencana.



Dalam pada itu, pembangunan sistem amaran awal ini mesti disertakan dengan program kesedaran awam. Orang ramai mesti dididik dengan maklumat yang tepat berkenaan bencana ini. Mereka mesti disedarkan akan kemungkinan bahaya yang bakal mereka hadapi dan bagaimana hendak berhadapan dengan bahaya tersebut. Program kesedaran ini juga akan menyokong kejayaan sistem amaran awal yang bakal dibina kelak. Dengan program kesedaran dan pendidikan, orang ramai tahu bagaimana hendak bertindak dalam keadaan bencana yang melanda. Kejayaan keseluruhan sistem ini harus dikaji secara menyeluruh. Jaringan komunikasi dan kesedaran awam memang penting. Seperkara lagi, usaha meningkatkan keyakinan awam akan bahaya Tsunami juga sangat kritikal. Di Hawaii, sistem amaran awal bencana Tsunami memang terbukti berkesan menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Selain itu, program kesedaran akan bahaya Tsunami juga telah dirancang dan diimplementasi dengan baik. Walau bagaimanapun, menurut Dr. Walter Dudley dari University of Hawaii, program kesedaran yang dijalankan belum tentu dapat meyakinkan orang awam akan bahaya ombak Tsunami. Di Hilo, Hawaii, bencana Tsunami telah beberapa kali berlaku. Walaupun begitu, amaran Tsunami sering juga diabaikan kerana penduduknya tidak begitu yakin dengan amaran tersebut. Ketidakyakinan ini timbul kerana terdapat beberapa kes di mana amaran yang dikeluarkan tidak begitu tepat. Di Hilo, pernah berlaku satu kes di mana amaran ombak Tsunami dikeluarkan tetapi ombak yang tiba hanyalah setinggi enam inci. Dalam kes ini, pengetahuan orang awam tidak disertai dengan keyakinan. Oleh itu, cabarannya adalah untuk meyakinkan bahawa bahaya ombak Tsunami benar-benar wujud dan boleh membawa kebinasaan.



Berdasarkan penjelasan di atas, terbukti bahawa kerajaan atau mana-mana agensi yang terlibat mempunyai tugas yang berat untuk menyediakan program kesedaran yang bermanfaat kepada semua pihak. Walau pun sukar, usaha itu mesti terus dijalankan. Jika tidak, sia-sialah pembinaan sistem amaran awal bencana yang bakal dibangunkan itu. Perlu juga diingat bahawa pembinaan sistem amaran awal bencana ini bukanlah untuk melawan kuasa Ilahi. Ia hanyalah sekadar satu usaha untuk membuat persediaan terhadap kemungkinan tibanya bencana. Ini samalah juga dengan usaha seseorang untuk mencegah penyakit sebelum penyakit itu datang. Dengan persediaan itu, kita akan lebih bersedia, tabah dan sanggup menerima dugaan yang Allah s.w.t. berikan. Pun begitu, kita akur bahawa usaha mengesan bencana dengan lebih awal bukan satu jaminan kita akan bebas dari bencana tersebut. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ahzaab (33), ayat 17 yang bermaksud, "Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Dia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Dia hendak memberikan rahmat kepada kamu? Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: Bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka". Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa tiada apa pun yang dapat menahan bencana dari berlaku. Walau bagaimana pun, manusia masih perlu berusaha untuk mengelak atau mengurangkan kesan bencana alam tersebut. Oleh kerana itu, usaha untuk membangunkan satu sistem amaran awal bencana Tsunami di negara ini amat dialu-alukan. Walaupun sistem ini tidak dapat menghalang bencana tsunami namun terbukti system tersebut dapat meminimumkan kesan bencana Tsunami kepada manusia. Di dalam alam ini, manusia sungguh kerdil. Sekali alam bertindak manusia pasti tidak dapat mengelak. Lebih-lebih lagi jika manusia itu leka dan alpa. Oleh itu, insaf dan ambillah iktibar dari bencana yang telah berlaku serta berusahalah untuk lebih berhemah dalam segala urusan di muka bumi ini.
Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment