Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. Alhamdulillah setinggi rasa syukur dipanjatkan kehadrat illahi kerana dengan limpah inayahnya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ini.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Dr. Ibrahim bin Hashim, Dekan FSSK kerana memberikan kelulusan untuk mengadakan kempen penjimatan tenaga yang dilancarkan pada hari ini. Tidak lupa juga kepada Presiden Persatuan Geografi Saudara Abdul Jabbar bin Mohammad kerana segala usaha dan kudratnya bersama Jawatankuasa Persatuan Geografi maka Majlis Pelancaran Kempen Penjimatan Tenaga peringkat Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang banyak membantu usaha Jabatan Geografi sehingga program dapat dijalankan pagi ini. Jabatan Geografi dan Persatuan Geografi berusaha bersama-sama untuk menjayakan satu kempen kesedaran kepada warga kampus supaya menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan berjimat cermat. Pengunaan tenaga elektrik yang berterusan tanpa melakukan penjimatan ke atas penggunaannya akan memberi kesan jangka panjang kepada bumi yang kita diami ini. Akhirnya telah menyebabkan peningkatan suhu global yang akan mengundang pelbagai jenis penyakit kepada manusia dan hidupan lain di bumi ini. Penggunaan tenaga elektrik secara berhemah bukan sahaja dapat menjimatkan bil elektrik malah ia juga dapat memastikan bumi kita terselamat daripada kesan-kesan bahangan yang dilepaskan ke atmosfera yang seterusnya akan dipantulkan balik ke permukaan bumi.
Para Hadirin yang dihormati sekalian,
Pelancaran Kempen Penjimatan Tenaga peringkat fakulti ini merupakan salah satu aktiviti Jabatan Geografi dan Persatuan Geografi UPSI yang dianjurkan bagi memberi maklumat dan pendedahan kepada masyarakat UPSI amnya, dan masyarakat sekeliling khasnya berkenaan pentingnya penjimatan tenaga dalam kehidupan sekalian. Usaha seumpama ini adalah menjadi harapan kami supaya kempen ini dapat dijalankan secara berterusan sehingga di peringkat universiti pada suatu hari nanti. Usaha-usaha seperti ini menjadi komitmen yang jitu kepada kami dan perlulah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak di peringkat warga kampus dan akhirnya menjadi budaya dan amalan mahasiswa yang kita hasilkan ini untuk diamalkan di sekolah. Harapan kami juga supaya ia menjadi kesedaran kepada semua pihak dalam pengurusan tenaga dan menggunakan secara berhemah dan lestari. Penggunaan tenaga elektrik secara berhemah ini patut menjadi amalan setiap warga kampus supaya pembaziran tenaga elektrik tidak lagi kedengaran.
Mungkin ada yang berkata, kempen seumpama adalah perkara yang remeh temeh, tetapi bagi kami Jabatan Geografi dan Persatuan Geografi program seumpama ini bukan perkara remeh temeh yang menjadi tanggapan sesetengah pihak. Sekiranya penggunaan tenaga dianggap remeh oleh masyarakat kita, nescaya impaknya akan melanda alam sekitar. Maka, kempen ini merupakan sumbangan kami kepada warga kampus dan bumi ini yang perlukan pembelaan. Kami mengharapkan supaya para hadirin sekalian mengambil pendekatan masing-masing dalam penggunaan tenaga elektrik bukan hanya di pejabat malah perlu diamalkan di rumah masing-masing. Amalan ini perlu diterapkan sejak di rumah lagi supaya anak-anak kita mengerti erti penjimatan yang perlu diamalkan oleh setiap insan. Didikan yang baik sebenarnya bermula dari gerak geri dan amalan kita di rumah. Maka, anak-anak kita tidak ada masalah apabila mereka menjadi masyarakat yang berjimat cermat dan juga menghargai peranan alam sekitar yang sememangnya memerlukan pembelaan setiap insan bergelar manusia. Manusia yang diamanahkan oleh Allah s.w.t sebagai khalifah di bumi ini sememangnya memerlukan sikap yang mempedulikan alam sekitar. Sikap mengambil berat tentang alam sekitar ini menjadikan kita manusia yang terbaik disisi Allah s.w.t. Sebab itu, Allah s.w.t telah menyatakan dalam Al-Quran yang lebih kurang maksudnya “kerosakan dimuka bumi ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri”. Kami tidak menafikan kepentingan penggunaan tenaga pada kehidupan hari ini namun perlu diingat, jika berlaku pembaziran yang ketara itulah yang mendorong kepada kerosakan kepada bumi ini. Oleh itu, saya menyeru kepada semua hadirin sekalian pada majlis ini dapat memberi kesedaran yang semaksimum mungkin kepada diri dan masyarakat setempat supaya sama-sama mengubah tabiat kita yang alpa terhadap penggunaan tenaga yang telah berlaku pembaziran. Saya juga berharap warga kerja Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan peka terhadap objektif kami Jabatan Geografi dan Persatuan Geografi melalui kempen penjimatan tenaga yang dianjurkan ini.
Akhir kata daripada kami Jabatan Geografi dan Persatuan Geografi mengharapkan warga kampus sekalian supaya:
BERUBAHLAH!
BERUBAHLAH tabiat supaya menutup suis lampu dan peralatan apabila tidak digunakan.
BERUBAHLAH kepada peralatan yang Cekap Tenaga demi kepentingan generasi sekarang dan generasi akan datang.
BERUBAHLAH demi bumi yang kita diami ini.
Wassalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh
No comments:
Post a Comment