Sunday, May 2, 2010

PERSOALAN ALAM SEKITAR DAN WAHYU



OLEH: MOHD ZAIDI ABDULLAH
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (Luqman: 27).
Andainya dinafikan tafsiran silam al-Quran, bermakna kita telah memutuskan sumbangan-sumbangan mereka yang boleh dikatakan umpama sebahagian lautan yang digunakan. Sedangkan syariat Islam perlu diamalkan semenjak diwahyukan hingga akhir zaman.
Kebenaran sentiasa sama cuma isu sahaja berbeza.
Selain itu, Imam Fakhrurrazi melalui kesistematikan pemikirannya hasil kajian yang mendalam bidang falsafah dan ilmu awa’il turut mahir dalam usul fiqh sehingga muncul kitab al-Mahsul Fi Usul Fiqh.
Justeru, kepakarannya dalam usul fiqh, beliau hanya digelarkan al-Imam sahaja kerana ulama muhaqqiq telah sedia maklum gelaran tersebut hanya ditujukan pada beliau.
Usul fiqh boleh dikatakan falsafah Islam sejati kerana digali daripada al-Quran dan hadis.
Usaha-usaha untuk menggali konsep jawamil kalim perlu disegerakan. Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda: Aku diutuskan dengan jawamil kalim dan aku dibantu dengan kegerunan. Ketika aku sedang tidur lantas aku didatangi kunci-kunci segala khazanah bumi lalu dibentangkan di depanku. Jawamil kalim bermaksud kata-kata yang ringkas yang mengandungi keluasan makna. Begitulah tahap al-Kitab dan al-Sunah.
Khazanah bumi terbukti terbuka kepada umatnya selepas kewafatan baginda s.a.w. Demikian penjelasan al-Hafiz Muhammad Habibullah al-Syanqiti (w.1363H) dalam Zadul-Muslim (Bekalan Untuk Orang Islam).
Hadis Sunan Abi Dawud yang ke-25 dan 26, muka surat 7 bermaksud: Hadis ke-25: Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda: Takutilah kamu pada dua orang yang kena laknat.
Sahabat bertanya: Siapakah orang yang kena laknat itu, wahai Rasulullah? Jawab Nabi s.a.w.: Orang yang buang air besar di (kawasan) laluan manusia atau tempat teduhan manusia. Diriwayatkan juga oleh al-Imam Muslim. Hadis ke-26: Dan daripada Pakar Hukum Umat Islam iaitu Mu’az ibn Jabal, katanya: Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Berhati-hatilah kamu akan tiga perkara yang dilaknati:
Iaitu [1] buang air besar di laluan air mengalir, [2] di tengah jalan dan [3] di tempat teduhan manusia.
Diriwayatkan juga oleh Ibnu Majah.
Bagi memanfaatkan kedua-dua hadis tersebut, dengan menggunakan kaedah klasik iaitu al-qiyas. Perbuatan buang air besar yang menghasilkan najis yang kotor.
Dari segi alasannya, najis tersebut adalah pencemar. Apabila dibuang di merata-rata akan menimbulkan pencemaran akhirnya memberi kesan buruk pada kesihatan manusia. Ini boleh diqiyaskan dengan pembuangan sisa toksik di merata-rata yang boleh membawa kepada keracunan dan pada tahap yang tinggi akan mendedahkan pada maut.
Umpamanya, sisa toksik yang dibuang berdekatan dengan tempat kediaman sudah tentu membahayakan penduduk di persekitarannya. Malah manusia di sekitar pasti mencela, melaknat pembuang tersebut sebagaimana sering diketahui di dada akhbar.
Begitu juga dengan najis babi yang tidak terkawal pembuangannya.
Ini terbukti menyebabkan wabak baru-baru ini.
Oleh itu, secara qiyasnya, dapat diambil satu teori bahawa setiap yang memberi kemudaratan pada manusia perlu dijauhi, dilarang serta perlu dikawal.
Demikian menunjukkan sikap Nabi s.a.w. yang prihatin terhadap pencemaran alam pada zamannya. Teori ini juga sesuai digelarkan sains Islam kerana ia digali daripada perbendaharaan Islam.
Secara tidak langsung sumber hadis telah turut menyentuh sains alam sekitar dan telah membentuk konsep tegahan yang berkualiti tinggi.
Sesungguhnya pencemaran alam sekitar adalah berbahaya kepada hidupan di muka bumi.
Kemajuan teknologi tidak berhak menghalang kesihatan manusia termasuk kesihatan binatang terutama binatang ternakan dan tumbuhan seperti sayuran. Ternakan dan tumbuhan sentiasa penting dalam mengalas perut manusia sebagai sebab dan akibat kehidupan manusia. Sekiranya tumbuhan dan ternakan telah dicemari bahan pencemar sudah tentu boleh mengakibat kematian ternakan dan tumbuhan atau paling minimum kesannya menyebabkan proses tumbesaran kedua-duanya yang sudah tentu menyebabkan zat yang diperlukan tidak cukup umpamanya.
Pencemaran udara jenis antropogenik dan fotokimia turut memperingatkan kita seperti jerebu dan pencemaran air seperti kandungan asid yang berlebihan.
Semua ini menyebabkan manusia hidup tidak segar dan sihat. Apabila ini berlaku aktiviti untuk mencapai kemajuan dan pembangunan akan lembap.
Mohd. Zaidi Abdullah ialah penyelidik di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas, Kelantan.

No comments:

Post a Comment