Assalamualaikum w.b.t buat sahabat-sahabat ahli persatuan sekalian. Alhamdulillah syukur saya panjatkan kepada Ilahi kerana kita diberikan oleh Allah s.w.t keadaan yang baik dan dapat meneruskan lagi perjuangan kita yang belum selesai sebagai pelajar dalam usaha menuntut ilmu. Dalam persoalan menuntut ilmu, kita jangan fikir hanya di dalam bilik-bilik kuliah sahaja ilmu akan diperolehi malah, lebih dari itu cara kita dapatkan ilmu. Dalam dunia yang serba canggih ini, kita tidak nafikan pelbagai cara yang boleh kita perolehi ilmu. Walauapapun cara kita memperolehi ilmu itu seharusnya kita amalkan dan sebarkan ilmu itu kepada umum. Dalam persoalan ilmu, maka saya tertarik untuk nyatakan disini kepada ahli-ahli persatuan yang mungkin sudahpun mengetahuinya. Menuntut ilmu boleh didapati dalam pelbagai cara antaranya melalui internet, blog, buku-buku, majalah dan pelbagai cara yang telah kita perolehi secara formal.
Kita mungkin terlupa, dalam menuntut ilmu bukan hanya sekadar itu yang membolehkan kita perolehi ilmu malah, secara tidak formal kita sebenarnya mudah memperolehi ilmu yang kita tidak mengetahuinya. Misalnya, secara tidak formal ilmu itu diperolehi melalui pengalaman, organisasi (persatuan), komunikasi dan hubungan interpersonal yang baik yang perlu kita amalkan dan budayakan sesuai dengan peranan kita sebagai pendidik yang sememangnya ilmu kita didambakan oleh setiap insan. Hampir sebulan Jawatankuasa Persatuan Geografi Universiti Pendidikan Sultan Idris (PERGEO-UPSI) sesi 2009/2010 telah terbentuk selepas pembubaran dilaksanakan pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-8 yang lalu.
Maka, pelbagai jawatan telah disandang oleh pelajar yang terpilih menerajui persatuan pada kali ini yang diketuai oleh saya, Abdul Jabbar Bin Mohammad-selaku Presiden untuk sesi 2009/2010. Terima kasih saya ucapkan kepada mantan Presiden Saudara Mohd Fakhrul Anwar bin Zalkafle dan jawatankuasa sesi 2008/2009 yang lalu, kerana telah berjaya menerajui persatuan dengan penuh tanggungjawab dan baik pada sesi yang lepas. Kini, tugas berat beliau itu diberikan kepada saya dan jawatankuasa sekarang untuk meneruskan agenda terdahulu dan pelbagai agenda yang dirancang bagi memastikan PERGEO-UPSI antara persatuan yang aktif dan terbilang di kalangan persatuan di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI.
Suka saya nyatakan disini, tanpa adanya sokongan daripada pelbagai pihak agenda yang dirancang hanya tinggal rancangan semata-mata jika semua tanggungjawab tersebut terletak dibahu saya. Kerjasama semua pihak, amat saya alukan demi meneruskan perjalanan program anjuran persatuan dan juga salah satu cara untuk kita sama-sama belajar membentuk organisasi dengan berkesan dan sempurna. Selaku Presiden, saya bukan hanya perlu bekerja kuat demi memastikan program supaya berjaya namun, saya perlu bekerja dengan tekun bersama jawatankuasa yang lain bagi memastikan setiap ahli terdetik dihati setidak-tidaknya untuk mengikuti setiap program yang telah dirangka oleh Jawatankuasa PERGEO-UPSI supaya ahli memperolehi ilmu melalui pengalaman. Pengalaman yang dimaksudkan adalah bergiat aktif dalam agenda persatuan. Pengalaman itu akan mematangkan kita untuk menjadi pendidik yang diperlukan oleh negara.
Harapan saya bagi setiap setiap ahli persatuan adalah supaya mengikuti agenda yang dirancang dalam usaha menjadikan bidang geografi sebahagian kehidupan anda bukan hanya sebagai pendidik malah, sebagai manusia yang menghargai alam sekitar. Nilai tegur-menegur, semangat bekerjasama, semangat kekitaan dan semangat cintai alam sekitar harus kita terapkan bersama dalam komuniti geografi. Hubungan Manusia dengan Pencipta, Manusia dengan Manusia dan Manusia dengan Alam menjadi perkaitan sebagai pelajar geografi. Oleh itu, saya mengharapkan momentum baru daripada ahli persatuan, pelajar Minor dan pelajar DPLI supaya dapat membantu Jawatankuasa PERGEO-UPSI yang baru dipilih ini demi menjadikan "geografi gah gemilang".
Saya dan barisan Jawatankuasa PERGEO-UPSI mengucapakan ribuan terima kasih di atas pemilihan kami untuk memikul hasrat ahli persatuan sebagai peneraju organisasi ini. Ucapan berbanyak-banyak terima kasih tidak dilupakan juga kepada Penasihat Persatuan Geografi, En. Azmi bin Ahmad Baharom yang merestui Jawatankuasa baru ini dengan harapan supaya boleh bekerja bersama tanpa adanya emosi yang boleh melemahkan semangat kerjasama semasa program dilaksanakan. Bagi Ketua Jabatan Geografi, Yg. Berbhagia Dr. Mazdi bin Marzuki sudah tentulah menjadi harapan beliau untuk menjadikan Jabatan Geografi sebuah jabatan yang disegani oleh jabatan-jabatan lain melalui keterlibatan program anjuran jabatan yang akan dibantu oleh persatuan yang menjadi peneraju kepada "Kegemilangan Geografi".
Motto, yang dicetuskan oleh Dr. Mazdi bin Marzuki " Geografi Gah Gemilang" menjadi lambang kepada harapan beliau yang inginkan Persatuan Geografi bangkit menyelusuri kegemilangan sehingga dipandang gah oleh masyarakat. Harapan itu, diberikan pengharapan supaya saya dan jawatankuasa menjaga persatuan ini dengan hala tuju yang cemerlang. InsyaAllah. Dengan itu saya akhiri ucapan saya dengan Mengucapkan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
No comments:
Post a Comment